ShOuTuL AmAl-JaNjI TuHaN PaStI BeRlAkU

Tuesday, February 22, 2011

Melampau Dalam Berduka

Dari Abu Musa r.a katanya:”Saya berlepas daripada orang yang Rasulullah berlepas diri daripadanya. Rasulullah saw berlepas diri daripada orang-orang yang berkabung dengan berteriak-teriak, mencukur kepala dan mengoyak-ngoyak baju.”
(Bukhari)

Huraian
Islam mengharamkan setiap muslim mengikuti tradisi jahiliah yang apabila ditimpa masalah kematian contohnya, mereka meratap, berteriak secara berlebih-lebihan dan melahirkan kedukaan yang melampau-lampau. Sebaliknya Islam mengajar ummatnya, bahawa kematian itu hanyalah perpisahan sementara, bukan musnah sama sekali kerana manusia bakal dibangkitkan semula di hari akhirat kelak. Sedangkan tangisan itu sama sekali tidak dapat menghidupkan orang yang sudah mati dan tidak juga dapat menolak takdir Allah. Oleh sebab itu, setiap muslim harus menerima sesuatu kematian itu sebagaimana halnya menerima musibah, iaitu harus banyak bersabar, mengawal perasaan dan memohon keredhaan Allah serta mengambil pengajaran daripadanya di samping mengharapkan pertemuan abadi di akhirat kelak. Kita juga digalakkan mengulang-ulang menyebut kalimah ‘inna lillah wainna ilaihi raaji'un’ yang bermaksud: “Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan kembali”.

Bertamu

Dari Abu Syuraih al-Khiz’iy r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda: ”Bertamu (menziarah) itu tiga hari; dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Para sahabat bertanya:” Bagaimana caranya dia berdosa?” Jawab baginda:”Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu.”

Huraian
1. Saling ziarah- menziarahi antara satu sama lain akan dapat merapatkan lagi tali persaudaraan. Malah kehadiran orang yang berziarah (bertamu) itu membawa rahmat kepada tuan rumah dan apabila tetamu tersebut meninggalkan rumah maka mereka akan membawa keluar dosa-dosa ahli rumah.
2. Sebagai tuan rumah, setiap tetamu haruslah dilayan dengan penuh hormat, dihidangkan dengan makanan yang bagus (mengikut kemampuan) dan beramah tamah dengan penuh kemesraan.
3. Manakala sebagai tetamu kita haruslah menghormati dan memahami adat (etika) ketika bertamu seperti memilih masa yang sesuai, memastikan percakapan tidak menyakiti hati tuan rumah, tidak meninggikan suara sehingga mengganggu ahli rumah yang lain yang hendak tidur dan sebagainya, tidak melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh tuan rumah, tidak berbual terlalu lama sehingga mengganggu masa tuan rumah (terutama jika kita tahu dia mempunyai tugasan lain yang perlu diselesaikan) dan tidak merungut disebabkan kekurangan yang tidak mampu disediakan oleh tuan rumah.
4. Sesudah bertamu, sepatutnya ucapkanlah terima kasih di atas segala layanan yang telah diberikan. Bersalaman sebelum berpisah di samping mengucap kata-kata yang disukai oleh tuan rumah dan yang paling penting hendaklah sentiasa menjaga rahsia (jika ada) sama ada yang berkaitan dengan diri tuan rumah, rumah ataupun ahli rumah yang lain demi mengelak terjadinya perbalahan dan permusuhan.

Tidak disengajakan

Dari Ibnu Abbas r.a, bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:”Sesungguhnya Allah memaafkan bagiku dari umatku akan kesilapan dan kelupaan dan apa yang dipaksakan mereka atasnya.”

Huraian
1. Perbuatan manusia adakalanya disertai dengan niat dan ikhtiar dan ada pula yang berlaku dengan sebab tersalah (tidak sengaja), terlupa atau dipaksa.
2. Ketiga-tiga perkara tersebut tidak dihukumkan sebagai satu kesalahan sebagaimana yang disebut dalam hadith kerana ia berlaku bukan di atas niat dan kerelaan oleh orang yang melakukannya dan oleh itu hukumannya berbeza dengan orang yang melakukannya dengan niat (disengajakan).
3. Sesungguhnya tiap-tiap perbuatan yang dihukum tidak sahaja dilihat kepada zahirnya tetapi ditinjau juga sampai ke dalam hati orang yang melakukannya. Ini memberi erti bahawa Islam mengambil berat terhadap kesedaran hati manusia dalam melaksanakan sesuatu perbuatan yang dikehendakinya kerana kesedaran itu menjadi bukti tanggungjawab seseorang atas perbuatannya di mana salah atau tidak perbuatan itu adalah dalam pengetahuannya dan dialah yang menanggung akibat atau dosanya kelak.

Mengukur Tahap Kecintaan Terhadap Rasulullah

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata:” Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata:” Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar:”Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!”

Huraian
1. Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling berhak dicintai daripada sekelian makhluk di dunia ini.
2. Mencintai baginda tidak mencukupi hanya dengan menyatakan dengan lisan tetapi hendaklah dibuktikan dengan perbuatan dan amal seperti mempraktikkan sunnahnya dan melaksanakan segala ajarannya.
3. Orang yang sentiasa menjaga akhlaknya dan mencontohi peribadi Rasulullah s.a.w di hari akhirat kelak akan mendapat ganjaran syafaat daripada baginda.
4. Kita hendaklah berusaha untuk sentiasa menyuburkan iman di jiwa dan mempastikan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat yang dibawa oleh baginda.

Siapa Tahu Nilaian Allah

Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya,:”Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya:”Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.)“Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata:”Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.”

huraian:
Memang menjadi tanggapan ramai bahawa setiap amalan yang baik akan mendapat pujian dan ganjaran yang besar. Islam tidak menafikan akan hakikat ini tetapi Islam tidak membenarkan umatnya terlalu memandang tinggi akan kebaikan seseorang apatah lagi dengan memuji secara berlebih-lebihan. Di samping itu Islam juga melarang kita daripada memandang remeh akan amalan yang kecil (kurang publisiti) yang dilakukan oleh seseorang kerana berkemungkinan dengan amalan yang dianggap kecil itu sebenarnya mempunyai pahala dan kedudukan yang lebih tinggi dan mulia di sisi Allah S.W.T. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu memperkecil-kecilkan kebaikan walaupun sedikit. Sekalipun engkau menemui saudaramu dengan wajah yang berseri-seri” (Muslim). Dalam setiap perbuatan manusia, niat sebenarnya memainkan peranan yang paling utama dan Allah S.W.T sahaja yang tahu akan niat seseorang. Namun begitu, sebagai orang yang beriman kita seharusnya membetulkan niat sebelum melakukan sesuatu. Utamakan pandangan Allah daripada pandangan manusia kerana tidak semestinya kedudukan yang baik dan cemerlang di mata manusia itu bermakna bahawa kita juga adalah baik dan cemerlang di sisi Allah S.W.T.

Doakan Yang Baik-baik

Dikhabarkan dari Aisyah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat hujan, baginda berkata:”Semoga hujan yang bermanfaat.”