ShOuTuL AmAl-JaNjI TuHaN PaStI BeRlAkU

Saturday, February 26, 2011

Bacalah ‘zahrawain’

Dari Abu Umamah al-Bahili r.a, katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bacalah al-Quran kerana dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Aali-Imran , kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti seperti dua kumpulan awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam matlamat hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang-tukang sihir). ”

(Muslim)

Huraian
Al Quran merupakan petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta fadhilat atau hikmat yang tidak diketahui oleh manusia. Di samping itu al Quran juga berfungsi sebagai penawar atau pendinding bagi jasmani dan rohani manusia yang mengerti dan mengamalkannya menurut ketentuan sunnah. Yang penting adalah keyakinan diri kita terhadap kebesaran Allah dan keagungan kalimah-kalimah Allah yang dijadikan sebagai pendinding daripada kejahatan kuasa-kuasa ghaib yang dihantar oleh pengamal ilmu-ilmu kebatinan yang sesat (ilmu hitam). Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Dia-lah sebaik-baik pelindung yang tiada siapa dapat menandingi-Nya.

Jihad Kaum Wanita

Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.”

(al-Bukhari)


Huraian
Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid. Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i). Oleh itu setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya. Apabila keikhlasan sudah tertanam di dalam jiwa, meskipun pelaksanaannya kelihatan begitu berat dan memerlukan pengorbanan harta, tenaga, waktu, perasaan bahkan nyawa, seseorang muslim akan dengan sendirinya terasa ringan untuk melakukannya. Sebaliknya, tanpa keikhlasan, bukan sahaja ibadah yang berat seperti tawaf yang memerlukan manusia bersesak-sesak, wuquf di dalam cuaca panas terik, melontar yang bakal dihujani pelbagai risiko dan sebagainya, malah ibadah yang ringan pun akan terasa berat untuk dilaksanakannya jika hati tidak disertai keikhlasan. Itulah sebabnya mengapa haji termasuk dalam konteks jihad dalam beribadah.

Keistimewaan Wudhu’ Yang Sempurna

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:” Bersabda Rasulullah s.a.w.:” Luas telaga ku pada hari kiamat lebih dari jarak Ailah1) dan ‘Adan’ airnya lebih jernih dari salju, lebih manis dari madu bercampur susu, bejana-bejananya lebih baik dari bintang di langit; Aku melarang umat selain umat ku yang akan datang minum di situ, sebagaimana seorang yang menjaga unta-unta orang lain yang akan minum dari telaganya; Ditanya Rasulullah s.a.w.:” Dapatkah tuan mengenal kami ketika itu?” Jawab Rasulullah s.a.w.:” Ya, ialah dengan bekas wuduk yang gilang-gemilang di muka mu sebagai tanda yang diistimewakan dari umat-umat yang lain.”

(Muslim)

Huraian
Allah SWT berfirman yang maksudnya:” Pada hari ketika kamu melihat orang Mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): Pada hari ini ada berita gembira untukmu, iaitu syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang banyak (al- Hadid:12). Sesungguhnya bekas-bekas basuhan air wudhu’ di wajah kita menjadi penyeri kepada wajah. Begitu juga setiap amal soleh yang kita lakukan adalah penyeri kepada akhlak. Semua himpunan cahaya ini adalah lambang keserian iman yang akan menerangi hidup seseorang di dunia dan akhirat. Syurga indah sedia menanti mereka di sana. Maka alangkah ruginya jika kita terkecuali daripada golongan yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis di atas. Namun manusia lazimnya selalu leka dalam mengejar nikmat dunia yang sementara di hadapan mata mereka berbanding nikmat akhirat yang indah dan kekal abadi. Sesungguhnya janji Allah SWT tetap benar dan hanya orang yang sabar sahaja akan dapat mengecap nikmat kebahagiaan yang dijanjikan-Nya itu.

Perkara Yang Mula-mula Diadili

Dari Abdullah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Perkara yang mula-mula diadili antara umat manusia kelak di hari kiamat ialah perkara penumpahan darah (pembunuhan)”

(Muslim)

Huraian
Dosa biasanya dikaitkan dengan perintah atau larangan. ertinya, tidak melaksanakan apa yang diperintahkan adalah berdosa dan melakukan apa yang dilarang juga adalah berdosa. Itulah sebabnya mengapa jika tidak melakukan solat, puasa, membayar zakat dan sebagainya diklasifikasikan sebagai dosa sama seperti perbuatan berzina, berbohong atau membunuh diri dan membunuh orang lain juga adalah berdosa. Perbuatan membunuh contohnya amat dilarang keras oleh Islam kerana manusia itu dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi kebanyakan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Firman Allah S.W.T: "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (Al-Israa: 70) Orang mukmin tidak boleh membunuh tanpa alasan yang haq dan sesiapa yang telah melakukan perbuatan itu dengan sengaja hendaklah segera bertaubat kerana dosa pembunuhan tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah S.W.T di hari akhirat kelak kecuali mendapat keampunan daripada Allah kerana hukum Allah akan benar-benar berlaku, iaitu jika tidak mendapat keadilan (pembalasan) di dunia, azab yang menyiksa bakal menunggu di akhirat nanti.